Labels


Minda Terbuka

Bicara Tentang Politik dan Halatuju Malaysia Negara Tercinta

KASIHANILAH ABDULLAH 5:42 PTG

Melihat senario terkini politik tanahair, perasaan saya berbaur. Marah, sedih, terkilan, malah lucu pun ada. Lantas terdetik dihati saya, "itulah rakyat Malaysia".

Dari dulu, kini dan mungkin selamanya, rakyat Malaysia akan bersikap sedemikian. Itulah "trademark" rakyat Malaysia. Tidak kira dari golongan manapun kita, baik golongan atasan mahupun marhaen, dari penoreh getah hingga ke pengilang getah, dari pembaca berita hinggalah ke Menteri Penerangannya, itulah sikap kita.

Kita akan membuat bising bila sesuatu 'insiden' baru berlaku dan ketika suasana masih panas. Namun bila matahari tenggelam dan bulan menjelma, suasana panas bertukar dingin, kita lupa 'insiden' yang berlaku dipagi tadi.

Itulah hakikat yang harus kita terima. "Hangat-hangat tahi ayam" adalah perumpamaan yang bertepatan bagi menggambarkan siapa orang kita. Sebagai contoh, bila harga ayam naik, semua pihak baik para pengguna mahupun Fomca membuat kecoh. "Boikot Ayam", "Jangan Beli Ayam" dan bermacam-macam kempen yang kedengaran. Tetapi selang beberapa hari orang yang kononnya memboikot ayam itu sendiri dilihat di pasar membeli ayam.

Begitulah halnya dengan politik tanahair. Apabila Barisan Nasional gagal memperolehi majoriti 2/3, riuh-rendah disana-sini seolah-olah dunia mahu kiamat. Bersimpang-siur jari tuding-menuding sesama sendiri mencari kesilapan siapa. Masing-masing menyelak kain seteru mencari 'kurap' yang menjadi punca gatal dibadan. Tapi saya percaya, semua ini tidak lama, tunggulah sedikit masa lagi, saya pasti tidak akan ada lagi suara-suara yang mendesak Abdullah Badawi berundur diri.

Rata-rata ahli UMNO yang sempat saya temui menyalahkan Abdullah Badawi diatas prestasi terburuk Barisan Nasional di dalam Pilihanraya Umum. Mungkin ada benarnya. Saya tidak nafikan sedikit-sebanyak kelemahan dan kealpaan Abdullah Badawi menyumbang kepada kekalahan tersebut.

Namun, adalah tidak adil untuk meletakkan beban dibahu Abdullah sendirian.
Kalau dihalusi, era gelap UMNO bermula sejak "Krisis Mahathir-KuLi" lagi atau lebih tepat, di zaman pemerintahan Mahathir. Kemudian diburukkan lagi dengan pemecatan Anwar Ibrahim dan kesannya paling ketara di zaman Abdullah Badawi kerana strategi politik yang tidak mengena, alpa dan kerap tertidur,lebih-lebih lagi selepas beristeri baru-mungkin keletihan.

Kalau UMNO itu diibaratkan 'tandas', adalah tidak wajar membiarkan Abdullah Badawi menyucikan 'najis' yang ditinggalkan oleh Mahathir. Tidak adil menuding jari ke hidung Abdullah bila 'najis' Mahathir menjadi semakin hitam dan membusuk.

Sepatutnya Mahathir yang sudah tamat 'shift' kerjanya membantu atau menasihati Abdullah yang baru memulakan tugas atau setidak-tidaknya tunjukkan dimana 'najis' yang perlu dicuci sebelum ia dapat dihidu oleh rakyat jelata. Kasihanilah Abdullah.

Saya bukanlah penyokong Abdullah mahupun Mahathir dan saya tidak pernah mendapat wang walau satu sen pun dari kocek mereka berdua.


Oleh: Sadik Sigajiwa

1 ulasan:

Azam Abd Rahman berkata...

Persoalannya apakah Pak Lah (Si Pecacai Pencuci Tandas) itu mahu menerima nasihat dari Mahathir? Bukankan beliau sedang mengunakan khidmat nasihat Penasihat 20 persen Khairy dan Tingkat 4? Bukankah Pak Lah enggan menerima nasihat dari sesiapa bahkan tidak mengendahkan suara ahli-ahli umno. Bukankah Pak Lah menyekat ahli UMNO bersuara melalui EGM?

Bukankah Pak Lah terang-terang menipu kita dengan menyatakan bahawa beliau tidak tahu dan tidak terlibat berkenaan isu ECM Libra? Bukankah apabila menter-menteri lain diminta mengistiharkan harta tetapi dia dan keluarga dikecualikan atau enggan melakukannya?

Bukankan rakyat hilang kepercayaan kepada beliau sebagai Presiden umno dan PM. BUKANKAH BELIAU PATUT BERUNDUR SECEPAT MUNGKIN???